Dienstag, 1. Januar 2008

Perayaan Hari Natal



Sejak awal bulan Disember saya menyediakan perayaan Hari Natal untuk keluarga melayu saya. Ini adalah kerana saya mahu menunjukkannya cara perayaan ini di Jerman.

Pada awal bulan Disember, saya sering ke Kuala Lumpur untuk mencari hadiah bagi adik-adik, Mummy dan Daddy. Pada masa itu saya telah membuat keputusan untuk membuat sebuah buku foto album. Foto album tersebut mengandungi lebih daripada 100 gambar yang diambil sepanjang tahun ini. Saya melekat gambar-gambar dan menghiasi buku pada lewat malam secara rahsia.

Selain hadiah-hadiah, saya juga membeli sebuah pokok krismas kecil yang diperbuat daripada plastik. Di Jerman semua orang membeli pokok krismas yang asli dan besar. Pokok krismas tersebut boleh bertahan selama dua minggu. Selepas itu daunnya menjadi layu dan gugur. Pokok tersebut tidak boleh ditanam kerana akarnya telah dipotong. Biasanya pokok krismas di Jerman setinggi dua meter atau lebih. Ia dihiasi dengan pelbagai perhiasan bersinar dan berkilat seperti tali berlampu, bintang-bintang dan lain-lain.

Pada lewat malam 23 hb Disember saya membungkus semua hadiah. Pada 24 hb (Christmas Eve) Aliza bersama Danial dan Yasmin keluar rumah untuk membeli hadiah. Pada petang hari Isnin tersebut saya mencari dan mencetak lirik-lirik lagu Krismas Jerman dan juga Jingle bells.

Di Jerman acara penyampaian hadiah bernama „Bescherung“. Ia dirayakan pada malam 24 hb manakala kebanyakan orang bukan Jerman membuka hadiah pada pagi hari krismas iaitu 25 hb.

Pada lewat petang hari Isnin itu saya mengejutkan Sophia. Kami memasang pokok krismas dan menghiasinya. Selepas itu kami menyediakan empat buah pinggan dengan biskut, gula-gula dan kacang. Ini merupakan tradisi khas berasal daripada keluarga emak saya. Apabila semua sudah kembali ke rumah, kami mandi dan bersiap sedia untuk memulakan perayaan.

Pada mulanya kami meletak hadiah-hadiah di bawah pokok krismas. Selepas itu saya mengagih topi Santa Claus kepada Daddy dan Mummy manakala  adik-adik pula diberikan topi berlampu. Kami bermula dengan menyanyi lagu-lagu krismas. Kami juga berjaya menyanyi lagu dalam bahasa Jerman. Kemudian, kami membuka hadiah satu persatu. Saya terkejut, sebab saya mendapat banyak hadiah. Saya sangat suka bola sepak, baju-baju dan hadiah yang lain. Nampaknya Mummy, Daddy dan adik-adik juga gembira dengan hadiah mereka.

Selepas kami membuka semua hadiah, kami menghidang Nasi Biryani dan lauk untuk makan malam.

Biasanya orang Jerman merayakan krismas bersama sudara-saudara ataupun sekurang-kurangnya bersama nenek dan datuk. Walau bagaimanapun keempat-empat nenek dan datuk saya telah meninggal dunia.

Saya tidak merindui keluarga saya di Jerman kerana saya dapat merayakan Krismas ini bersama keluarga angkat saya dengan gembira.

Keine Kommentare: