Dienstag, 11. Dezember 2007
Lawatan ke Filipina (Bahasa Malaysia)
Pada akhir bulan November, saya bersama semua ahli keluarga angkat saya pergi ke Filipina untuk bercuti selama lima hari. Kami mendarat di Lapangan Terbang Clark Field kerana kami menaiki kapal terbang AirAsia. Kami membeli tiket penerbangan tersebut pada awal tahun ini semasa promosi AirAsia dimana kami hanya membayar cukai sahaja.
Clark Filed terletak lebih kurang 80 km dari pekan Manila. Kami menaiki bas untuk pergi ke pekan Manila. Sepanjang tiga jam perjalanan ke Manila, saya melewati bandar-bandar lain. Pada masa itu saya berpendapat bahawa Filipina merupakan negara yang sangat kotor, miskin dan kurang teratur seperti Vietnam atau Indonesia. Saya melihat aktiviti-aktiviti di tepi jalan, yang juga dapat menarik perhatian saya.
Hotel kami terletak berdekatan taman Rizal Park, di dalam kawasan Downtown Manila. Kami tinggal di Hotel Manila Pavillion yang mana biliknya besar dan selesa. Semasa di Manila setiap hari saya bersama adik-adik saya berenang di kolam renang di hotel tersebut.
Pada hari Sabtu kami bersiar-siar di Rizal Park. Kami melawat Intramuros iaitu kawasan bersejarah yang terletak di dalam sebuah kota dan dikepung oleh tembok. Walaupun kota tersebut merupakan tempat pelancongan utama, ia kotor dan ramai orang yang sangat miskin tinggal di kawasan tersebut. Bangunan-bangunan dan gereja di Intramuros telah buruk dan kelihatan tiada sesiapa yang menjaga keadaannya. Selepas berjalan-jalan di Intramuros, kami menaiki teksi untuk pergi ke Quiapo. Di sini terdapat sebuah masjid yang terbesar di Metro Manila. Masjid tersebut bernama Golden Mosque tetapi malangnya cat kubahnya tidak berwarna emas lagi. Presiden Lybia telah membiayai pembinaannya sebelum kedatangannya ke Manila, walau bagaimanapun kedatangan beliau dibatalkan. Ramai orang beragama Islam yang berasal dari seluruh dunia berjumpa di hadapan masjid. Selepas sembahyang kami mencari dan menjumpai sebuah restoran halal yang menghidang ayam bakar dan nasi arabia. Setelah makan tengahari kami menjumpai sebuah pasar yang besar. Terdapat pelbagai bau di sini. Selain bau pencemaran yang teruk, di sini juga terdapat bau wangi buah-buahan, sayuran dan makanan lain-lain. Pasar tersebut sangat sesak. Selepas itu saya membeli cenderamata. Di pusat cenderamata dan pondok jualan cenderamata lain-lain semua barang tidak secantik cenderamata di tempat lain di Asia.
Pada pagi hari Ahad kami menuju ke pantai yang bernama „Baywalk“. Tempat tersebut lebih bersih dan cantik daripada kawasan-kawasan lain di Manila tetapi laut berbau busuk. Kami berjalan di tepi Manila Bay sehingga membelok kiri dan memasuki kawasan Downtown Manila untuk berjalan ke sebuah stesen LRT. Di dalam stesen yang bertingkat tersebut, beg saya diperiksa oleh seorang pemeriksa LRT. Di serata tempat di Manila terdapat berpuluh-puluh mata-mata dan pegawai yang memeriksa sesiapa dengan teliti kerana banyak serangan bom berlaku di kompleks membeli belah dan bangunan awam.
Kami turun di stesen LRT Chinatown. Kawasan tersebut sangat sesak dan udaranya juga tercemar. Ramai penjual menawarkan permainan kanak-kanak, makanan dan pakaian di tepi jalan. Selepas berjalan-jalan, kami pergi ke Makati City. Di bandar tersebut terdapat banyak bangunan tinggi dan daerahnya lebih bersih dan kemas daripada Manila. Makati City ialah bandar ekonomi. Oleh sebab itu tiada sesiapa yang bekerja pada hari ahad dan semua kedai tutup.
Pada hari Isnin, saya bangun awal pagi untuk menjelajahi Manila seorang diri. Dengan ini, saya boleh berjalan lebih laju dan lama, tanpa budak kecil. Pada mulanya saya berjalan-jalan di Downtown Manila untuk melihat aktiviti-aktiviti pagi. Pada masa itu ramai pekerja menuju ke tempat kerja masing-masing. Terdapat banyak kedai kopi yang menghidang sarapan pagi. Lalu-lintas semakin sesak dan kenderaan tidak bergerak. Saya bertanyakan cara untuk pergi ke Chinatown dengan menaiki Jeepney. Seorang pengawal keselamatan memanggil sebuah Jeepney. Saya menaiki Jeepney yang penuh sesak. Jeepneys merupakan pengankutan awam utama di Filipina. Kenderaan tersebut berasal dari zaman penjajahan AS. Selain itu terdapat bas besar, beca berenjin dan beca yang perlu digerakkan dengan menggunakan tenaga fizikal seseorang.
Semasa saya sampai di Chinatown, pasar tersebut baru memulakan operasi. Saya menjumpai sebuah gereja yang besar, berasal dari zaman penjajahan Sepanyol. Upacara sembahyang baru selesai dan orang mula meninggalkan gereja tersebut. Oleh kerana kebanyakan orang Filipina beragama Kristen, terdapat gereja di serata tempat. Selepas itu saya membeli hadiah untuk Danial kerana esok ialah hari jadinya.
Pada pukul 11 pagi, saya kembali ke hotel. Pada tengahari Isnin, kami pergi ke sebuah pusat memebeli-belah yang bernama Mall of Asia. Ia adalah mall yang terbesar di seluruh Asia dan terdiri daripada beberapa bangunan besar di tepi pantai Manila Bay. Walaubagaimana pun mall tersebut hanya dua tingkat sahaja. Pada waktu petang, kami berehat di tepi pantai sebelum kembali ke hotel untuk berehat dan berenang. Selepas itu kami berjumpa dengan rakan sekerja Aliza dan makan malam bersama-sama.
Pada pagi hari Selasa kami pergi ke lapangan terbang untuk menaiki pesawat kembali ke Malaysia. Di atas kapal terbang kami makan Nasi Lemak yang sangat sedap.
Saya merasa seronok dengan lawatan ini. Saya sangat suka melancong bersama Danial, Yasmin, Sophia, Aliza dan Sarodin. Walaupun Manila merupakan sebuah bandar yang kotor dan kacau bilau, tetapi ia masih menarik.
Abonnieren
Kommentare zum Post (Atom)
2 Kommentare:
berapa kos keseluruhan kmu d sana? tidak termasuk tiket.
Masa tu lebih kurang 100 RM. Termasuk souvenir, public transport, etc.
Kommentar veröffentlichen