Donnerstag, 25. Oktober 2007

STE Sarawak – Keluarga angkat/Kuching (Bahasa Malaysia)




Pada bulan lepas saya telah melawat ke negeri Sarawak. Saya pergi bersama pelajar-pelajar AFS yang lain, untuk mengikuti program Pertukaran Sementara (STE-Short Term Exchange), selama dua minggu.

Saya bernasib baik sekali lagi kerana dapat tinggal bersama keluarga angkat yang mesra dan aktif. Bapa dan ibu angkat saya bernama Andee & Linda. Mereka mempunyai seorang anak lelaki , iaitu David yang berumur 2 tahun.. Walaupun David masih kecil tetapi dia sudah pandai bercakap bahasa Inggeris. Linda seorang berketurunan India bekerja sebagai guru di sebuah sekolah menengah di pekan Kuching. Andee seorang berketurunan cina bekerja sebagai guru di sebuah sekolah menengah berasrama. Kami tinggal di flat yang terletak di dalam kawasan sekolah tempat Andee bekerja. Ia terletak 15 km dari pekan Kuching.

Semasa di Sarawak kami mengunjungi banyak tempat menarik di keliling bandar Kuching. Pada hari pertama di Sarawak saya dan semua kawan-kawan AFS berkumpul untuk menjelajah pekan Kuching. Pada mulanya, kami menuju ke pusat maklumat pelancong yang terletak berdekatan dengan Sungai Kuching. Semasa berjalan di tepi sungai itu, kami nampak beberapa papan tanda maklumat yang sangat menarik.

Bandar ini dinamakan Kuching kerana pada zaman dahulu perkataan „Cochin“ dalam bahasa perdagangan bermakna „pelabuhan“. Sebenarnya Kuching pernah sebagai pusat perdagangan utama pada zaman penjajahan inggeris.
Walaubagaimana pun terdapat teori lain mengenai asal usul nama bandar ini. Seorang Inggeris yang bernama James Brooke telah dibawa oleh orang tempatan untuk melawat kawasan di tepi sungai, dengan menaiki bot. Semasa perjalanan beliau bertanyakan nama tempat di tepi sungai tersebut. Secara tidak sengaja, beliau menunjuk ke arah seekor kucing yang berada di tebing sungai ketika itu. Pemandu bot tersalah faham dengan menjawap ‘Kucing’.

Pada hari itu juga, kami melawat ke semua tempat menarik di pekan Kuching iaitu beberapa tokong cina, sebuah masjid dan bangunan-bangunan lama yang dibina semasa zaman penjajahan inggeris. Kami juga menyeberang sungai dengan menaiki bot kecil untuk mengunjungi istana.

Selepas itu kami berasa lapar dan cuba mencari kedai makan mamak. Walau bagaimanapun, kami tidak menjumpainya. Semua kedai mamak tutup kerana bulan puasa. Tambahan pula, di Sarawak memang tidak terdapat banyak kedai mamak.

Saya merasa seronok kerana Kuching merupakan bandar yang bersih, indah, menarik dan kecil.

Keine Kommentare: